JEMBALANG TANAH DI BUSUT HITAM
Apalagi tatkala orang kampung tidak lagi menumpu ke hospital seperti sekarang, memang bidan seperti nenek saya inilah tempat mereka mengantung harapan. Bukan nenek sahaja mereka perlukan Dukun Samid dengan Mudim Encol juga menjadi tumpuan mereka.
Sewaktu Mudim Encol sunatkan Madun Calet tetiba saja darah turun membuak tak henti terpaksa dia menjemput Dukun Samid. Selepas Dukun Samid bubuhkan tasak yang diambil dari sawang di kasau atap cepat sahaja darah Madun Calet berhenti macam air disekat empang.
Dukun Samid juga tergesa-gesa menyuruh dijemput nenek saya sewaktu dia mengubati Melah meracau-racau tidak menentu. Apabila nenek saya potongkan bawang merah ditenyeh ke dalam piring berisi minyak kelapa, lantas sahaja Melah bangun tercengang-cengang tidak tahu apa telah berlaku pada dirinya.
Memang mereka saling kerjasama menghadapi kesukaran sewaktu dijemput orang kampung lantaran jauhnya pusat kesihatan dan jalan pula bertanah merah dan mengambil masa yang lama untuk sampai ke pekan atau bandar.
“Saya tidak sanggup lagi berbidan,” jelas nenek apabila dijemput orang setelah dia memutuskan tidak mahu lagi berbidan. Tidak sanggup dia untuk menempuh geruh jika digagahi juga membidankan ibu sarat mengandung.
Sudah jadi pantang larang dia tidak boleh membidankan anak sendiri. Namun tatkala emak saya terlantar sarat mengandung, nenek sendiri tidak dapat mengagak sama ada emak saya sampai resa atau pun belum. Tidak ada tanda-tanda emak saya akan bersalin sewaktu dia sarat mengandungkan saya.
Sebab itulah ayah saya ke rumah Tok Aji dan Nenek Aji kerana kenduri sambutan Maulidur Rasul. Menjadi kelaziman setiap tahun akan diadakan kenduri menjelang maulid di madrasah nya untuk sama-sama bertahlil dan berselawat.
Hanya sebelum maghrib tiba-tiba emak saya mula merasa perutnya sakit lantas melaung nenek dari tingkap disebabkan rumah kami saling berdekatan. Sewaktu nenek datang bersama bapa saudara saya Usu Jusuh, hujan mula turun rintik-rintik. Memang nenek sudah tahu emak saya tengah sakit nak bersalin. Kalau mahu dipanggil bidan lain tidak sempat pula Usu Jusuh ke rumah Tok Aji memberitahu ayah saya. Dalam keadaan terdesak itu nenek terpaksa menyuruh Usu Jusuh memberitahu ayah saya fasal keadaan emak saya.
Sebaik saja diberitahu mengenai emak saya hampir mahu bersalin ayah saya cepat-cepat balik ke rumah. Tok Aji dan Nenek Ajin terpaksa juga teruskan kenduri disebabkan jiran-jiran sudah diberitahu. Hairan juga ayah saya dengan keadaan tersebut disebabkan emak saya tidak ada tanda-tanda hendak bersalin kecuali ikut ramalan bidan sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu lagi.
Tetapi nenek saya sudah meraba perut emak saya memang terasa jelas resa akan melahirkan itu sudah diketahuinya. Belum pernah lagi nenek tidak dapat mengesan fasal ibu sarat mengandung mahu melahirkan. Dia satu-satunya bidan yang berpengalaman di kampung itu. Bidan lain pun minta tunjuk ajar selepas dia bertekad tak mau berbidan lagi.
"Memanglah sudah sampai resanya" kata nenek kepada ayah saya.
Ketika ini Abang Tapa yang disuruh jemput Bidan Nah belum lagi menjengah muka. Hujan mulai turun dengan lebat menyebabkan ayah saya tidak senang duduk. Abang Tapa adalah anak angkat nenek. Kalau dah menjemput Bidan Nah tentu boleh singgah di rumah Pak Tua Mahat di Kampung Hulu.
Kalau Pak Tua Mahat datang sebelum emak melahirkan tidaklah bimbang sangat nenek. Tetapi saat cemas ini tidak dapat dielakkan juga apabila emak semakin sakit sebelum Bidan Nah datang. Sebaik sahaja azan Isya di surau bersama deruan hujan lebat itulah saya dilahirkan dengan nenek terpaksalah membidankan. Mahu tidak mahu nenek terpaksa juga langgar pantang turun temurun. Apakala membidankan anak sendiri yang dalam cemas demikian.
Sebaik sahaja saya dilahirkan, nenek jadi serba salah kerana saya tidak menangis seperti bayi lazimnya. Dua belah tangan saya melekap ke telinga seolah-olah bercantum tidak boleh direnggangkan. Dalam keadaan tidak tahu apa mahu dilakukan itu inilah Tok Aji dan Nenek Aji datang dengan berpayungkan daun pisang.
"Siapa bidankan anak ini?" Nenek Aji tanya sebaik sahaja naik kerumah.
"Saya sendiri, bisan." sahut nenek lemah disebabkan terpaksa melanggar pantang larangnya sendiri.
"Tapi budak ini tidak menangis nampaknya." ujar nenek kesal dengan kejadian menimpa saya. Nenek percaya tentulah akibat melanggar pantang larang yang menyebabkan saya dilahirkan tidak menangis langsung seolah-olah bayi tidak bernyawa.
Cepat-cepat Tok Aji mengambil saya terus melekangkan tangan saya daripada melekap ke telinga dengan membacakan Al-Fatihah tiga kali. Sebaik sahaja tangan saya lekang daripada telinga barulah saya menangis sama seperti bayi lain.
Saat inilah Abang Tapa sampai dengan Bidan Nah dalam keadaan basah kuyup. Setelah Bidan Nah sampai nenek serahkan semua urusan kepadanya untuk mengerat pusat dan memandikan bayi.
"Kawan serahkan pada awaklah Bidan Nah," ujar nenek terus sahaja mengelak.
"Tak usahlah risau bisan," Tok Aji sengaja mengusik nenek yang resah dengan kejadian itu.
"Agaknya budak ini lahir tengah menyeru azan sebab itu dia tak menangis," jelas tok Aji sambil ketawa lembut disebabkan nenek saya kenal benar apabila melanggar pantang.
Sudah berapa kali anak-anaknya melahirkan memang nenek tidak akan membidankan. Setelah menyedari anak-anaknya hampir bersalin nenek akan segera menjemput Bidan Nah. Tahu sangat Bidan Nah pantang larang nenek tidak boleh bidankan anak sendiri. Bukan takat membidankan sahaja nenek pegang pantang tu kejap-kejap malah mencabut akar kayu di tepi hutan juga dia tidak akan melanggar petua. Selepas berselawat sekiranya anak kayu tidak boleh dicabut selepas sekali direntap nenek tidak akan mengulanginya. Dia akan cari anak akar kayu lain pula.
Sebab itulah apabila mencari limau berlangir nenek mudah sahaja dapatkan limau tatkala pokok2 limau lebat tidak berbuah. Selepas puas mencari limau dalam kampung sekiranya tidak ada juga pokok yang berbuah nescaya nenek duduk tercongok di perdunya. Setelah menepuk perdu pokok tiga kali nenek akan membacakan jampi serapahnya
"Assalamualaikum hai nenek kayu, nenek penunggu segala batu, aku nak minta sebiji limau buat ubat si anu aku tahu asal usul kau limau, limpa anu asal kau limau, berkat la ila haillallah, hu........"
Setelah dihembuskan tiga kali ke perdu pokok nenek akan mencungkil di perdu pokok dengan hujung mata parangnya. Di situ nescaya tersembul sebiji limau sekalipun pokoknya tidak berbuah langsung. Memang siapapun hairan bagaimana nenek boleh dapatkan buah limau tatkala sebatang pun pokok limau dalam kampung tidak berbuah.
"Macam mana Kak Ibah dapat buah limau?" Bidan Nah sendiri hairan disebabkan dia puas mencari limau untuk melanggir tembuni uri.
" Hah, ada di sebalik daunnya, awak tak tengok betul-betul," sahut nenek sengaja berahsia. Tetapi mereka tahu selepas nenek mecungkil perdu pokok berkenaan akan layu daun dalam tempoh tiga hari sahaja.
Hanya selepas nenek membidankan emak saya itulah nenek menghidapi tokak dibuku lali kakinya. Terpaksa dia pupukkan dengan pucuk daun kenan sampai berkerak-kerak keras namun tokaknya tidak juga sembuh. Ketika ini pusat saya juga membengkak macam buah pinang tengah merah.
Apabila diberitahu kepada Tok Aji mengenai pusat saya itu membengkak hingga bernanah dia pangkah saja dengan kapur sirih. Tok Aji bacakan Al-Fatihah dan Al-Ikhlas memasing tiga kali diikuti dengan doa yang khusyuk daripada sanubarinya
" Allahumma ra-binnasi azhibalbasa isyfiantasy-syafi...la syifa a illah syifa uka syifa an layu ghadiru saqaman."
Dalam sehari semalam saja bengkak dipusat saya surut tidak bertahan. Serentak itu tokak di ibu lali kaki nenek saya juga mengecut macam terung dicelur air panas. Memang nenek dapat mengagak segala geruh yang ditempuhinya disebabkan melanggar pantang berbidan.
Bukanlah sehari dua dia mengamalkan petua yang diturunkan oleh arwah emaknya sebelum jadi bidan kampung yang berpengalaman. Dia terpaksa ikut sama mencabut akar kayu buat ramuan ibu bersalin sebelum diturunkan amalan berbidan. Setiap akar kayu ditentukan khasiatnya biar hilangkan rengat gunakan akar pasak bumi pecahkan angin diramu dengan akar tutup bumi kalau senggugut pula carikan akar sangka buana. Nenek dilatih supaya mengenali setiap jenis akar sebelum diturunkan petua tidak boleh merentapnya diulang-ulang sekiranya tidak dapat dicabut sebaik sahaja digenjur sekali!
Selepas tahu ramuan akar kayu barulah diajar amalan mengurut seluruh urat badan kalau dimasuki angin diurut songsang kalau sengugut diurut menurun kalau terkena angin bisa perlu dijampi sambar urat. Semuanya amalan yang diturunkan oleh arwah emaknya yang mempunyai pantang larang yang wajib dipatuhi.
Setelah mahir fasal urut mengurut baharulah dia dilatih dengan menyambut bayi. Kalau sampai resa beri minum air selusuh jikalau songsang jampikan uri kalau disampuk syaitan nenek akan membakar kemenyan menyeru pendampingnya membantu. Disebabkan menyeru pendampinglah dia mesti mematuhi pantang larangnya biar sempurna segala amalan yang diturunkan kepadanya.
"Kalau saya dah langgar pantang, cukuplah saya berbidan," tutur nenek perlahan sebaik sahaja tidak berdaya mengubat tokak di kakinya. Ketika ini dia sudah membakar menyeru pendampingnya bersemuka setelah menyedari dia melanggar pantang.
"Kenapa awak bidankan anak sendiri?" gerutu Tok Syeikh menjelma didepannya dengan jubah serba kuning.
"Habis nak biar je anak kawan beranak tak berbidan!" sahut nenek mencebek bibir meluahkan rasa hati yangmendongkol.
"Tapi awak tak kerat pusat, awak juga tak mandikan bayi itu." ujar Tok Syeikh perlahan memujuk nenek kerana nenek tidak melanggar pantang larang yang ditetapkan.
"Memang kawan tak langgar pantang, tapi kenapa tokak di ibu lali kaki kawan ni?" marah benar nenek disebabkan tokaknya belum surut setelah berminggu.
" Hah, tokak awak bukan pasal langgar pantang." kata tok Syeikh menyakinkan nenek.
"Jadi apa ke he nya?" nenek berang dengan riak Tok Syeikh yang tersengih-sengih memandangnya.
"Awak terpijakkan tempat jembalang tanah berumah," ujar Tok Syeikh menuding ke arah ular hitam yang garang mengangkat kepala di tepi belukar tempat nenek menebas tapak semaian padi.
"Kenapa Tok Syeikh tak lindungkan kawan?" lantas nenek menyindirnya kerana tidak dapat bertahan daripada gangguan syaitan yang menjelma menjadi ular hitam di tepi belukar.
" Macam mana nak lindungkan, sebab awak lalai sampai terpijak tempat dia," dalih Tok Syeikh terpaksa berundur apabila ular hitam itu mahu menerkam ke arahnya.
Sambil berligar-ligar Tok Syeikh terpaksa memukul kepala ular itu dengan tongkat buluh tumpat bewarna kuning. Terpelanting ular hitam itu akibat dipukul kepala hingga bergulung-gulung mengelepar. Tetapi ular hitam tidak mengalah sekalipun terkitai-kitai kepala selepas dipukul kuat. Tubuhnya beransur-ansur jadi asap debu hingga bertukar jadi perempuan tua dengan rambut beruban mengerbang serta muka berkerut hodoh.
Belum sempat Tok Syeikh mara ke hadapan memukul tongkat buluh tumpatnya, perempuan tua itu menghentakkan tongkat batang bembannya hingga memancar api yang menyambar. Terpaksa Tok Syeikh undur ke belakang lantas membuka serbannya terus dikibaskan ke api yang menyala marak.
Api yang marak itu bagaikan ditiup angin kencang meliuk kearah perempuan tua itu hingga hampir menyambar rambutnya yang mengerbang putih. Terdengah-dengah perempuan tua itu mengelak api. Terketar-ketar dia melompat ke atas busut hitam dalam keadaan termengah-mengah.
"Nak berlawan sangat awak ni Tok Syeikh!" ejek perempuan tua hodoh itu melenggok-lenggok kepalanya laksana ular diterpa musuh.
"Kalau awak nak cuba apa salahnya." sahut Tok Syeikh menghentak-hentak tongkat buluh tumpatnya.
"Awak penghulu bunian, kenapa nak tolong Bidan Ibah ni?" terketar-ketar perempuan tua itu bersuara sambil mengerling nenek yang bersimpuh membiarkan asap kemenyan berlabun ditengah rumahnya.
"Kenapa pulak awak jembalang tanah nak mengganggu dia.!" jerkah Tok Syeikh mengejeknya.
"Selagi aku ada jangan cuba nak ganggu sahabat aku ini." dia memberi amaran menudingkan tongkatnya ke muka perempuan tua berambut putih mengerbang itu.
Tertunduk perempuan tua itu apabila Tok Syeikh menuduhnya jembalang tanah. Saat ini dia tidak dapat menyembunyikan dirinya setelah nenek dapat membaca rahsia perempuan tua berkenaan. Apabila perempuan tua itu cuba memusingkan badan, Tok Syeikh menghembus ke arahnya, menyebabkan tiba-tiba sahaja jaring besi jatuh dari udara menyerkupnya.
Terlalu marah perempuan tua rambut putih mengerbang itu disebabkan terkurung dalam serkup jaring besi. Puas diketuk-keuknya dengan tongkat batang bemban jaring besi itu tetap tersergam kukuh. Kemudian dia membongkok mengambil menggenggam pasir lantas dilemparkannya ke arah jaring besi itu hingga terpokah bagaikan cair dilebur ke tepi.
Terkekeh-kekeh dia ketawa mengejek sebaik sahaja dapat membolos keluar daripada serkup jaring besi itu. Ketika ini Tok Syeikh membisikkan kepada nenek supaya membacakan “Unggun-unggun anggah-anggah datang nenek tongkat besi, terlanda engkau patah terpijak engkau mati, mata kamak mata kamu, kamu budang badang, siah kiri siah kanan siahkan kata aku, aku tahu asal kau jadi, darah ular sekati munur asal kau jadi, Yassin kata Allah, Yassin kata Muhammad, Yassin kata baginda Rasulullah, berkat la-ila haillallah hu....”
Habis sahaja membaca jampi serapah yang diajarkan oleh Tok Syeikh, dia melihat Tok Syeikh berundur ke belakang . Perempuan tua rambut mengerbang putih itu terpinga-pinga apakala mendengar tanah bergegar bagaikan dipijak tapak kaki sebesar bukit.
Nenek terus memejamkan mata membiarkan asap kemenyan melabun sehingga menyelubungi seluruh badannya. Di tengah-tengah gegaran tanah itu dia mendengar suara Tok Aji mendehem jauh di udara. Apakala nenek mendongak dia melihat Tok Aji berjalan di udara laksana berjejak di tengah halaman.
“Saya tidak sanggup lagi lindungkan Bidan Ibah, Aji.” lemah sahaja suara Tok Syeikh menunduk sebaik sahaja Tok Aji tercegat di depannya.
“Kamu juga makhluk Allah, tak berhak lindung sesama makhluk,” Tok Aji mengingatkan Tok Syeikh yang tersengih-sengih malu disindir.
Tok Aji memang mengetahui sememangnya perempuan tua rambut putih mengerbang yang dipanggil jembalang tanah itu tidak akan mampu menewaskan Tok Syeikh, penghulu bunian itu. Tetapi Tok Syeikh sendiri tidak berupaya melindungkan nenek sekiranya diganggu. Kalaulah tidak disebabkan hati nenek cekal melawan gangguan itu nescaya dia juga tewas tidak dapat bertahan.
Kemunculan Tok Aji secara tiba-tiba itu menyebabkan perempuan tua berambut putih mengerbang itu menggelisah tidak menentu. Tatkala dia cuba menghambur dari busut hitam kakinya tiba-tiba menjadi lemah. Menyeringai dia menampak gusi yang bergigi jarang laksana anjing disorongkan belantan ke rahang.
“Aku bukan nak bermusuh dengan awak, Aji,” ujar perempuan itu ketakutan menjadikan kulit mukanya yang bertambah berkedut bertambah hodoh.
Tok Aji tidak peduli apapun dituturkan oleh perempuan tua berkenaan. Dia merenung tepat muka hodoh perempuan tua tergolek ke tepi busut hitam terkial-kial berpaut disitu. Belum sempat dia bangun berdiri tegak, Tok Aji mengisar tapak tangan membacakan al-Ikhlas tiga kali menyebabkan perempuan tua itu terhenyak. Terketar-ketar dia memegang pinggangnya bagaikan patah dihentak kuat.
“Nak bunuh aku ke Aji?!” rungut perempuan tua itu menyeka rambutnya yang beruban mengerbang hingga menutup muka. Tetapi Tok Aji tidak hiraukan gerutu perempuan tua berkenaan. Dia bacakan Ayatul Kursi 17 kali dihembuskan sekali gus ke muka perempuan tua itu, hingga tiba-tiba sahaja kulit mukanya cair bagaikan lilin dicucuh api. Kulit mukanya juga luruh laksana kertas buruk terendam di air yang diramas-ramas kasar.
Apakala perempuan tua mahu meraba kulit mukanya biji matanya juga tersembul keluar menyebabkan dia menjerit-jerit tidak ketentuan. Tok Syeikh yang melihat kejadian itu juga menjadi gementar hingga tidak berani bercakap sepatah pun. Sebaik sahaja tubuh perempuan tua melebur menjadi debu, nenek juga tersentak di tengah-tengah rumah. Bara tempat membakar kemenyan juga sudah padam menjadi arang. Terasa seluruh badannya berpeluh dengan ombak dada termengah-mengah. Usu Jusuh yang berbaring di serambi sekadar mendengar nenek merungut-rungut sahaja di tengah rumah.
Jikalau nenek membakar kemenyan tengah malam memang Usu Jusuh tidak ambil peduli sangat. Dia tahu nenek menyeru Tok Syeikh datang menjelma sekirannya dia terdesak. Lainlah kalau nenek memanggilnya ambilkan air atau perkakas ubat-ubatan yang diperlukan barulah Usu Jusuh membantu.
Bangun pagi esoknya nenek merasakan tokak di buku lali kaki nya tidak lagi berdenyut sakit. Bengkaknya juga sudah mula mengecut. Tatkala dia datang menjengah saya, memang nenek menghela nafas lega setelah melihat bengkak di pusat saya sudah seruh benar. Dia tahu memang Tok Aji yang doakan supaya bengkak di pusat saya cepat sembuh.
Tidak lama selepas kejadian itu tiap-tiap malam pula saya kembung perut sehingga menangis santak dinihari. Gelabah juga emak dan ayah saya disebabkan kembung perut itu sampai keras macam kulit tabuh surau. Puas ayah saya doakan, tetapi kembung perut itu hanya reda untuk seketika sahaja. Tatkala saya tenar menangis, ayah saya bacakan sahaja surah al-Ikhlas sampai 100 kali. Habis sahaja ayah saya bacakan surah tersebut, lantas sahaja saya terberak tidak bertahan. Selepas terberaklah barulah saya tidur nyenyak sampai ke pagi.
Tetapi malam itu esok pula kembung perut itu berulang kali. Kesal juga nenek kerana dia melanggar pantang larang berbidan, sekali pun Tok Syeikh memberitahu dia tidak melanggar apa-apa pantang larang yang ditetapkan kerana tidak memotong pusat dan tidak memandikan bayi. Macam manapun nenek tetap merasa dirinya bersalah menyebabkan saya sentiasa sakit sahaja semasa baru dilahirkan sampai berusia enam bulan.
“Biarlah nenek tak berbidan lagi,” beritahu nenek selepas bertahun-tahun dia mengambik keputusan nekad berhenti terus menjadi bidan. Puas dipujuk orang-orang kampungnya, nenek tetap dengan keputusannya. Dia tidak akan menjadi bidan lagi selepas sahaja saya dilahirkan.
“Kenapa nenek mesti terima pantang larang?” sengaja saya mengusik apabila sesekali berkunjung ke rumahnya.
“Hah, adat kita berbidan mestilah ikut pantang larang,” jelas nenek perlahan.
“Kalau di hospital nak jadi bidan kena pakaian serba putih, jadi pantang larang inilah pakaian bidan kampung,” tersengih-sengih nenek macam sindir saya.
Nenek percaya gangguan yang saya alami semasa kecil memang jelmaan jembalang tanah yang mengambil kesempatan apabila nenek melanggar pantang larang. Tetapi Tok Aji sekadar menjelaskan “Apapun penyakit datangnya daripada Allah S.W.T untuk menguji kesabaran hamba-hambaNya.”
Kejadian yang saya alami itu memang tidak pernah saya tahu langsung. Kalaulah tidak diceritakan oleh nenek, manalah saya tahu kejadian pusat saya membengkak sebesar buah pinang masak menyebabkan pusat itu tersembul sebaik sahaja sembuh. Bimbang juga emak saya kalau-kalau bengkak berkenaan boleh menyebabkan perut berkulit lembut itu akan berlubang pesuk.
“Tapi Allah mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi,” tutur nenek apabila kenangkan kejadian yang menimpa saya semasa baru dilahirkan dulu.
Hinggalah nenek meninggal dunia memang dia tidak lagi mahu membidankan sesiapa sahaja, setelah dia nekad membuat keputusan. Tetapi ke mana pun dia pergi orang-orang kampung tetap memanggilnya bidan juga. Sebab itulah terkejut juga saya apabila Ngah Khatib yang sudah lama berpindah ke Segamat memberitahu fasal nenek saya menbidankan menantunya tengah mengerang sakit sebelum menjemput bidan klinik dijemput datang. Memang menantunya Mejirah dibenarkan bersalin rumah sahaja disebabkan bersalin kali kedua.
Sebaik sahaja anaknya Sidin menunggang motorsikalnya ke klinik bidan yang bertugas sudah ke kampung lain untuk membidankan orang. Gelabah juga Sidin disebabkan seorang sahaja bidan bertugas di kampung berkenaan dalam masa dua orang ibu sarat mengandung hampir melahirkan anak. Terpaksalah Sidin berpatah berpatah balik. Setidak-tidaknya dia boleh meminta bantuan jiran-jiran supaya membawa isterinya ke hospital sahaja. Dalam keadaan senja semakin gelap, masih ada masa lagi kalau mahu membawa Mejirah ke hospital sahaja.
Tatkala membelok masuk ke simpang kampungnya dari jalan besar, Sidin ditahan oleh nenek saya. Tergamam juga Saidin disebabkan dia kenal benar dengan ayahnya Ngah Khatib. Memang dia tahu ayahnya datang dari daerah yang disebutkan boleh nenek saya tetapi sudah lama dia tidak jejak kaki balik ke kampung.
Semenjak berpindah dari kampung halaman ke Segamat, Ngah Khatib tidak pernah lagi jengah muka. Apa sangat yang mahu diharapkan dia sendiri tidak ada saudara mara setelah kedua ibu bapanya meninggal dunia. Apalagi kedua ibu bapa menumpang di tanah nenek untuk tegak rumah semasa di kampung.
“Eh, Mak Ibah buat apa ke Segamat ini?” terkejut juga Ngah Khatib apabila anaknya Sidin membawa nenek saya balik ke rumah bersamanya.
“Aku nak ke rumah Angah, tak tahu di mana,” keluhnya pendek sambil menunjuk alamat saya sewaktu tinggal di Segamat beberapa tahun lampau.
“Dia tinggal di sini ke?” terkejut juga Ngah Khatib apabila diberitahu saya ada di Segamat. Dia sendiri tidak cam muka saya walau terserempak sekalipun kecuali tahu sangat saya cucu Bidan Ibah.
Alamat tempat tinggal saya yang ditunjukkan oleh nenek itu memang jauh dari kampung berkenaan. Masakan nenek boleh sampai tatkala malam sudah bertambah gelap. Lagipun tidak ada lagi bas melintas setelah lebih jam 5 petang.
Disebabkan Merijah semakin sarat mahu melahirkan anak, Sidin tidak peduli sangat kedatangan nenek yang menjadi tetamunya. Dia gelabah mahu membawa isterinya ke hospital sahaja setelah meminta pertolongan jiran-jiran. Mereka terpaksa pula mencari kereta sewa di pekan kecil yang berdekatan sedangkan keadaan Merijah sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi.
“Mak Ibah, tolong tengokkan menantu saya ini, “ desak Ngah Khatib cemas melihat keadaan Merijah.
Nenek saya tidak meyahut. Dia mara kehadapan meraba-raba perut Merijah, Kemudian dia menggeleng kepala sambil bertutur perlahan, “ His, songsang kedudukan budak ini,”
Lantas nenek meminta air segelas. Setelah dihulurkan kepadanya dia menghirup sedikit bagaikan terkumur-kumur, kemudian disemburkannya ke perut Merijah. Apabila tangannya membetulkan punggung bayi di dalam kandungan yang terdorong ke bawah, dengan menolak kepalanya ke bawah, tidak sampai beberapa minit Merijah selamat melahirkan bayinya. Macam manapun nenek enggan memotong pusat bayi. Terpaksa pula menunggu bidan klinik yang sudah dipesankan oleh Sidin. Dalam masa beberapa minit sahaja bidan berkenaan sampai dengan termengah-mengah kerana dia tidak menyangka Merijah nak bersalin pada hari berkenaan.
Tetapi dia tidaklah membantah setelah dibantu oleh nenek saya membidankan bayi berkenaan. Bidan klinik mengerat tali pusat dan memandikan bayi. Nenek bermalam juga di rumah Ngah Khatib sebelum esoknya berkeras mahu cari tempat saya tinggal.
Tiga hari selepas Merijah selamat bersalin, Ngah Khatib mengajak anaknya Sidin mencari rumah saya. Dia percaya tentu nenek masih belum balik ke kampung. Terhutang budi benar dia pada nenek setelah membantu membidankan Merijah. Kalau nenek tidak datang dalam saat Merijah mengerang-ngerang sebelum bidan klinik sampai, memang Ngah Khatib mati akal. Apalagi Bidan Temah tidak berani membantu setelah meraba bayi dalam kandungan itu songsang. Kak Temah sendiri mendesak supaya Merijah dibawa ke hospital sahaja jika bidan klinik tidak sampai.
Dalam saat cemas inilah Ngah Khatib berulang kali menyebut nama nenek fasal kemahirannya membidankan sekalipun bayi itu songsang kandungan. Tahu sangat Ngah Khatib disebabkan dia lama duduk di tanah nenek sampai berkawan rapat dengan Abang Taha anak angkat nenek. Tetapi Ngah Khatib tidak menyedari nenek tidak lagi membidankan setelah saya dilahirkan. Sehingga dewasa pun Ngah Khatib tak tahu nenek tidak berbidan disebabkan bekerja di estet. Hanya sekali sekala menjengah emak dan ayahnya sahaja semasa hidup lagi. Selepas kedua-duanya meninggal memang Ngah Khatib tidak balik ke kampung lagi.
Hampir tak tercam saya sewaktu dia menjengah di halaman memberi salam.
“Macam mana Ngah tahu saya tinggal disini?” hairan juga saya tiba2 dia terjengah lantas mempelawanya naik kerumah.
Tersengih-sengih dia. Perkara dapat mana alamat tidak lagi penting setelah berjumpa setelah dua puluh tahun tak bersua menyebabkan masing-masing banyak berubah. Tubuh dia sudah gemuk dengan kepala botak di tengah dan beruban rambut di tepinya tidak sama sewaktu dia balik sekali sekala menjengah emak dan ayahnya.
Lama dia mejengah-jengah kedalam rumah saya macam mencari seseorang, barulah Ngah Khatib memberitahu mengenai nenek membidankan menantunya Merijah. Kalau disebabkan nenek tidak memberi alamat tentulah dia tidak akan tahu dimana saya tinggal.
“Ah, takkan nenek yang bidankan.” getus saya tidak percaya.
“Betul ustaz, saya yang bawa dia naik motorsikal,”sampuk Sidin fasal terserempak nenek di simpang ke jalan besar selepas turun dari bas.
“Nenek tak mahu bidankan orang lagi,”jelas saya selanjutnya.
“Dia kata nak ke sini, tak ada dia datang,” Ngah Khatib bertanya setelah menunggu nenek tidak juga keluar.
Barulah saya menghela nafas sambil beristighfar panjang menginsafi akan kebesaran Allah Azzawajalla. Terasa begitu kerdilnya diri di sisi Allah Yang Khaliq. Tidak saya sedari pelupuk mata digenangi air menahan terharu menyebak di dada. Apabila kenangkan seumur hidup tidak mahu lagi berbidan, tiba-tiba sahaja membantu menantu Ngah Khatib sewaktu lelaki itu berulang kali menyebut namanya.
“Kalaulah Mak Ibah (nenek) ada tentulah tak susah Merijah nak bersalin,” tidak putus-putus Ngah Khatib menuturkan setiap kali melihat anaknya Merijah mengerang-ngerang kesakitan.
Sebab itulah tidak bertangguh lagi dia mencari tempat tinggal saya setelah nenek memberitahu akan ke rumah saya. Sekalipun Sidin mahu menghantarkan, tetapi dia sekadar menyuruh anak muda itu menjaga isterinya.
“ Sebenarnya, nenek sudah meninggal lebih 15 belas tahun dahulu,” bisik saya perlahan menyebabkan Ngah Khatib tersentak tidak percaya dengan perjelasan saya.
Ketika ini saya melihat pelupuk mata Ngah Khatib juga digenangi air mata.
TAMAT