18 November, 2015

Buta tidak jadi penghalang anugerah pingat emas USM

GEORGETOWN - “Peluang kedua adalah lebih baik dari peluang pertama,” itulah prinsip dipegang graduan orang kurang upaya (OKU) yang dianugerahkan pingat emas sempena konvokesyen ke-52 Universiti Sains Malaysia.

Walaupun cacat penglihatan sejak lahir, namun ia bukan penghalang kepada Ruvindiran Mohan, 25, untuk menongkah arus berhadapan pelbagai rintangan ketika menjalani kehidupan sebagai pelajar.

Apa tidaknya, ketika rakan sebaya menyambung pelajaran ke peringkat tinggi, beliau yang mempunyai kesukaran mengulang kaji pelajaran akibat masalah penglihatan tidak dapat berbuat demikian kerana memperoleh keputusan kurang memberangsangkan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Namun, dengan prinsip itu, Ruvindiran berjaya membuktikan kegagalan pertama bukan penghalang untuknya berjaya seperti insan lain apabila memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan kali kedua.

Menurutnya, kejayaan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial di USM langsung tidak pernah diduga.

“Saya merakam sesi kuliah dengan bantuan alat rakaman yang diperbuat khas bagi golongan kurang upaya selain mendapat maklumat dari sumber lain,” katanya.

Ruvindiran berkata, dia berhasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah bermula tahun depan.

sumber sinar harian
Copyright © dunia rasasayang ®