20 Mei, 2011

PROSPEK ganti PTK buat kakitangan awam

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Kaedah penilaian baru kakitangan awam — Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek) akan menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan Januari lalu dan ia tidak lagi berasaskan peperiksaan.

(klik papar untuk maklumat lanjut)







Bagaimanapun ia akan ditentukan oleh panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat.

Panel penilai itu akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih, lapor media hari ini.

Berita Harian memetik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, Prospek akan menggantikan PTK yang dilaksanakan mulai 1 Julai.

Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi; memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Abu Bakar berkata selain dimensi asas seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, sistem baru itu juga mengambil kira dimensi tambahan, iaitu kreativiti dan inovasi selaras penekanan kerajaan pada masa ini.

“Pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya,” kata beliau pada majlis menandatangani persetujuan bersama sistem baru itu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacas) malam tadi.

Beliau berkata, penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru itu bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan awam.

Faedah pembangunan diri, termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang kakitangan serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang.

Sementara itu, faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan dalam atau luar negara.

Pegawai yang berada dalam gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred berkenaan.

“Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan dan Latihan Berteraskan Kompetensi.

“Ketua perkhidmatan dan jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan,” katanya.

Pengumuman pemansuhan PTK diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober 2010.

Ujian PTK diperkenalkan pada 2003 berikutan pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada Oktober 2002 menggantikan Skim Saraan Baru (SSB) yang diguna pakai bagi menilai prestasi kakitangan awam sejak 1990.

ULASAN:

Saya mengharapkan agarPROSPEK turut mengambil kirapekerja OKU dan satu modul khas untuk majikan bagi menilai pekerja OKU.

Copyright © dunia rasasayang ®