14 Mei, 2011

Guru syor gaji, elaun kakitangan awam diselaras

HARI Guru akan disambut dua hari lagi. Sebagai guru, saya terpanggil untuk meluahkan rasa hati berikutan beberapa isu yang hangat diperkatakan dewasa ini membabitkan kakitangan awam termasuk guru iaitu gaji dan elaun.

(klik butang papar untuk meneruskan bacaan)




Berita baik yang ditunggu semua kakitangan awam berikutan tuntutan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi penyelarasan gaji dan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) serta Elaun Tetap Perumahan (ITP) sempena Hari Pekerja 1 Mei lalu ibarat menunggu bulan jatuh ke riba.

Saya ingin mengutarakan beberapa cadangan kepada kerajaan, CUEPACS dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili guru.

Pertama, COLA dan ITP diselaraskan kepada semua kakitangan awam tanpa mengira gred gaji.

Kedua, perbezaan gred gaji antara kakitangan awam hanya berdasarkan gaji pokok dan Elaun Tetap Khidmat Awam (ITKA). Pada situasi ini, gaji pokok kakitangan awam pengurusan dan profesional (gred 41 dan ke atas) mesti lebih tinggi daripada lepasan diploma (gred 40 ke bawah).

Ketiga, semua gred gaji dan elaun di setiap kementerian diselaraskan. Sebagai contoh, gred gaji kakitangan awam sokongan lepasan diploma Kementerian Pelajaran bermula daripada gred 1 hingga 40 sedangkan gred gaji bagi kakitangan awam sokongan lepasan diploma Kementerian Kesihatan bermula daripada gred 1 hingga 42.

Begitu juga dengan Elaun Kritikal bagi Kementerian Pelajaran antara lima dan 10 peratus daripada gaji pokok sedangkan bagi kakitangan awam Kementerian Kesihatan mencecah 15 peratus.

Keempat, tempoh kenaikan pangkat kakitangan awam Kementerian Pelajaran amat panjang. Kenaikan daripada gred DG41 ke gred DG44 guru mengambil masa 10 tahun, sedangkan di kementerian lain antara tiga hingga tujuh tahun saja.

Ada yang menyatakan perkara ini berlaku kerana guru terlalu ramai berbanding kakitangan kementerian lain. Ada perbezaan gaji sangat ketara antara kami walaupun tempoh perkhidmatan sama.

Kami berasakan guru antara golongan paling teraniaya antara kementerian dengan 1,001 tugas, serta keputusan Jawatankuasa Mengkaji Beban Tugas Guru yang belum diumumkan walaupun sudah hampir setahun berlalu.

Guru memang tepat diibaratkan seperti lilin yang menerangi kehidupan orang lain. Semoga Hari Guru 2011 ini membawa sinar ‘lilin’ yang bercahaya kepada semua kakitangan awam terutama guru. Selamat Hari Guru.

SINARAN LILIN,
Tanjung Malim, Perak.

*NUTP oh NUTP ... Kepada semua warga pendidik, saudara mara pendidik .. sila klik share/like untuk sokong syor ini. terima kasih .


Berita Harian, 14 Mei 2011

Copyright © dunia rasasayang ®