24 September, 2008

Pelangi Petang Siri 10

Tahun 1997, aku melangkah buat pertama kali ke bumi Sintok, Kedah Darul Aman. Aku ditawarkan ke pusat pengajian matrikulasi dalam jurusan pengurusan. Pada masa itu, semua matrikulasi diletakkan dibawah universiti. Maka dikira budak U jugaklah.

Sebelum itu aku telah menolak tawaran dari ITM Segamat kerana tidak menepati seleraku. Sahabat handai dan saudara mara datang mengucapkan tahniah kepadaku. Aku membuat persiapan untuk ke sana. Maklumlah .. ini pertama kali aku akan berjauhan dengan keluargaku. Aku tidak dapat membayangkan bagaimana bumi Sintok itu, aku tidak dapat membayangkan bagaimana aku akan berdikari sendiri membawa hidup demi mengejar cita-cita. Menguruskan diri sendiri tanpa pemantauan dari ayah dan ibuku.







Memanglah amat berat bagi ibuku untuk melepaskan aku bersendirian begitu. Kebimbangan demi kebimbangan sentiasa menjadi tajuk perbualan kami beberapa hari sebelum aku berangkat ke bumi Sintok. Makan minumku selama ini diawasi oleh ibuku, pakaianku juga diawasi walaupun aku tahu melakukannya sendiri. Serba serbi dibimbanginya.

“nanti kalau kat sana, tutur kata kena jaga. Adab sopan kena awasi” pesan ibuku sambil membuat sambal tumis untuk dijual esok harinya.

“duit tu simpan baik-baik, kita ni orang susah .. jangan boros dan belanja tak tentu pasal” tambahnya lagi. Aku hanya mendiamkan diri. Dibenakku terasa kegembiraan hendak pergi ke sana. Kekadang timbul juga rasa cemas kerana aku takut tidak dapat berdikari kerana kecacatanku. Aku juga berasa sedih kerana terpaksa berjauhan dengan keluargaku kelak.

“saya akan cuba mak .. yang penting adalah kejayaan saya”aku menjawab sambil membantu ibuku apa yang patut di dapur.

Sebelum berangkat, aku dikehendaki menjelaskan yuran kuliah terlebih dahulu. Itu adalah prosedur biasa bagi mengesahkan kita menerima tawaran universiti tersebut. Jika tak salah aku,yuran pendaftaran adalah lebih kurang seribu lima ratus ringgit. Aku membayarnya di bank dengan duit simpananku dan juga hasil gaji yang aku bekerja dulu.

Aku tidak mahu membebankan ayahku. Habis duit simpananku untuktujuan membayar yuran. Ayahku memberi duit untuk membeli keperluan pakaian dan kelengkapan lain.

Aku menaiki van ke bumi sintok, itupun bapa saudara aku yang bermurah hati untuk menghantarku. Keluargaku tidak mempunyai kenderaan selain motorsikal sahaja. Ayah dan ibuku pergi menghantarku sekali. Maklumlah tidak ingin melepaskan anak mereka di bumi Sintok bersendirian.

Perjalanan yang memenatkan hampir 10 jam dari Pahang tidak aku rasakan tatkala aku mencecahkan kaki buat kali pertama di bumi Sintok. Terlalu asing bagiku. Terlalu bersyukur aku rasakan. Aku hampir melenangkan air mata kerana segala cita-citaku termakbul di bumi Sintok ini. Namun aku sedar, perjalanan aku masih jauh.. ya masih jauh.

Suasana yang asing bagiku ..

Para mahasiswa membawa buku ke sana sini mengejar ilmu. Aku orang baru dan duniaku masih kerdil di sana. Perasaan malu sebagai anak kampung mula terbit dari hati kecilku.

“nanti, bila di sini belajarlah rajin-rajin … jangan sombong, jangan meninggi diri dan jangan abaikan sembahyang” pesan ayahku.

“ya .. hang jangan lupa telefon mak nanti. Hang jangan lupa apa yang mak pesan..” tambah ibuku lagi.

“duit tu jangan boros.. dan jangan lupa simpan baik-baik. Hang tu tak berapa nampak.. nanti orang ambil duit hang hang nak makan apa.. kita ni orang susah” pesan ibuku berulangkali.

Biasalah seorang ibu mesti bimbang akan keselamatan anaknya. Tambahan pula aku akan berjauhan dari keluargaku. Jauh dari pemerhatian dan pengawasan mereka.

Aku belum lagi boleh digelar sebagai mahasiswa kerana aku adalah seorang pelajar matrikulasi. Kursus matrikulasi ini adalah selama setahun dan jika lulus maka barulah aku akan ditawarkan ke program ijazah pertama.

Setelah siap segalanya, kini tiba masanya mereka akan pulang. Pulang meninggalkan aku bersendirian. Aku tidak punya sesiapa di sini. Tidak ada saudara atau kenalan. Aku masih baru di sini.

Aku ditempatkan di kolej MISC yang khusus untuk para pelajar Matrikulasi. Aku berkongsi bilik dengan tiga lagi rakan baru yang semuanya dari utara. Asni seorang pelajar sekolah terkemuka di Malaysia berasal dari Utara Perak, Izham yang belajar di sekolah elit di Alor Setar dan juga Khairul Nizam yang belajar di MRSM Perlis. Melainkan aku yang hanya belajar di sekolah Felda yang jauh dari bandar. Jauh dari suasana pelajar cemerlang. Ah.. terlalu kerdil aku rasakan.

Bersambung .. :)

Copyright © dunia rasasayang ®